Baru baru ini Ketua Wanita ISMA menyatakan bahawa pendidikan agama benteng terakhir dalam mengatasi masalah ini.
Dalam hal ini, kami ingin memetik ucapan Penolong Pengarah Pendidikan Negeri Selangor yang berucap di Majlis Anugerah Kecemerlangan sebuah Maahad, sekolah terakhir beberapa orang anak kami awal tahun ini.
Beliau mendedahkan dalam ucapannya bahawa ramai pelajar yang 'rosak' didapati kembali kepada akhlak asalnya walaupun telah mengikuti berbagai-bagai program agama yang dianjurkan oleh pihak sekolah dan kementerian.
Ramai juga pelajar yang dikenali 'elok' ketika meninggalkan sekolah, namun secepat kilat berubah ke arah negetif sebaik meninggalkan sekolah. Pengaruh media dan rakan sebaya begitu kuat sekali.
Di samping menyeru ibubapa dan guru berusaha mencari pendekatan yang lebih berkesan, usaha merapatkan hubungan ibubapa dan guru dengan anak-anak serta pemantauan mereka harus diperkemaskan.
Ini bukan lagi masa untuk kita 'menghalau' anak-anak kita solat dan mengaji sahaja tanpa memahamkan mereka rahsianya. Kita sendiri jahil, sentiasa sibuk dan tidak cuba pula untuk mendekati mereka.
Ini bukan masa untuk hanya memaksa mereka bertudung tanpa memahami mengapa harus memakainya.
Hayat ibubapa tidaklah lama untuk hidup bersama anak-anak kita. Itulah sedikit waktu yang ada untuk kita pupuk kasih sayang dengan mereka. Itulah juga masa untuk kita sampaikan pendidikan agama, dari kefahaman al-Quran, sunnah dan sirah Rasulullah SAW, sejarah jatuh bangun Islam, pendidikan adab dan juga ulasan tentang isu-isu semasa.
Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya, "Jika Dajjal datang ketika aku ada, maka aku sendiri akan menghapuskannya. Tetapi jika ia datang selepas aku tiada, maka setiap dari kalian terpaksa menghadapinya sendiri".
Itulah peranan pemimpin yang berilmu. Dengan ilmunya Dajjal mudah dikenali dan dihindari. Kita di zaman jahiliyah moden kini terumbang ambing dan meraba-raba. Bagaimana mahu menjauhi Syaitan dan Dajjal, bagaimana mahu mencintai Allah dan Rasul sedangkan kita sendiri tidak mengenalinya. Akhirnya neraka dunia kita sangka syurga dan begitulah sebaliknya.
Islam itu agama ilmu, agama maklumat. Ayat pertama turun pun "IQRA' BISMI ROBB" (Bacalah dengan nama Pengaturmu). Itulah ATURAN PENGATUR ALAM yang harus kita baca dan kaji.
Oleh itu, utamakan pendidikan yang berbentuk 'maklumat' yang mudah dimaklumi oleh anak-anak kita. Jangan kita didik mereka secara paksa, hanya kerana kita sendiri tidak memahami apa yang kita kata.
Percayalah...tanpa ilmu, maka anak-anak kita akan tetap menjadi ULAM DAJJAL.
Tanpa prejudis,
*********************
November 2, 2015 | BANGI – Aspek pencegahan khususnya penghayatan agama perlu diberi perhatian penting untuk mengurangkan bilangan remaja di Malaysia hamil setiap tahun.
Ketua Wanita Isma, Dr Nor Saleha Mohd Salleh berkata semua pihak perlu peka dan memandang serius langkah-langkah pencegahan bagi mengurangkan bilangan kehamilan luar nikah dalam kalangan remaja di Malaysia.
“Semua pihak termasuk NGO, sekolah dan kerajaan berperanan untuk cegah perkara ini supaya remaja terpelihara.
“Pendidikan agama adalah benteng terakhir dalam menangani masalah ini,” katanya ketika dihubungi Ismaweb hari ini.
Beliau turut mencadangkan agar Kementerian Pendidikan menambah tempoh masa belajar bagi subjek Pendidikan Islam di sekolah supaya lebih banyak lagi pendedahan kepada golongan ini.
“Tambahkan lagi tempoh masa belajar agama di sekolah terutama pendidikan Al-Quran,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, walaupun banyak rumah perlindungan dan pemulihan tersedia untuk mereka bantu remaja yang sudah terlanjur namun ia tidak mencukupi kerana kaedah rawatan bukanlah beri penyelesaian menyeluruh.
“Dengan wujudnya rumah pemulihan ini secara tidak langsung dapat bantu remaja untuk perbaiki diri sendiri kerana ada tempat yang beri mereka peluang dan ruang untuk berubah.
“Namun aspek pencegahan lebih perlu difokuskan supaya ia tidak terus berlaku,” katanya mengulas kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan berhubung purata 18,000 remaja hamil setiap tahun.
Dr Nor Saleha turut menggesa pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) mengambil kira tayangan filem dan drama di negara ini yang boleh menjadi pengaruh kuat kepada remaja.
“Filem, laman web, Youtube dan sebagainya perlu ditapis bagi mengelakkan ia mudah diakses oleh remaja.
“Ibu bapa juga perlu pantau dan gunakan sistem ‘block’ pada wifi untuk laman web tertentu yang mendorong kepada perkara negatif,” katanya.
Minggu lalu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam mendedahkan data mengejutkan bahawa purata 18,000 remaja di Malaysia hamil setiap tahun dan mendapatkan rawatan di klinik kesihatan kerajaan.
Daripada jumlah itu, 25 peratus atau kira-kira 4,500 kes membabitkan remaja yang mengandung luar nikah, katanya.
“Secara purata terdapat 1,500 kes remaja hamil setiap bulan dan 50 kes sehari di seluruh negara,” katanya kepada pemberita di Putrajaya.
Dipetik daripada : WARGA PRIHATIN