Apa nasib 6000 Kakitangan MAS yang diberhentikan ?

Malaysia Airlines

Apa nasib 6000 kakitangan MAS yang diberhentikan?

Sudah jatuh ditimpa tangga, itulah yang boleh diungkapkan mengenai syarikat penerbangan negara iaitu Malaysia Airlines System. Setelah tragedi MH370 yang masih menjadi misteri setelah mengorbankan 38 rakyat Malaysia khususnya, datang pula bencana yang kedua iaitu MH17 yang telah ditembak jatuh di Donetsk, kubu kuat pemisah pro Russia, Anton Gerashchenko. 

Khazanah Nasional Bhd (Khazanah)

Nasib MAS adalah di tangan Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) yang mana akan menubuhkan pusat khas bagi memberikan sokongan penempatan kepada kira-kira 6,000 kakitangan Penerbangan Malaysia (MAS) yang akan diberhentikan berikutan proses penyusunan semulanya.

Sumber yang mahir dengan penstrukturan semula berkata, tumpuan pusat penempatan (OPC) itu adalah menghulurkan sokongan berkaitan dan diperlukan kepada pelbagai kumpulan kakitangan yang meninggalkan syarikat penerbangan nasional berkenaan.

Ini termasuk sokongan profesional, emosi dan kewangan bagi membantu mereka untuk beralih ke peringkat kerjaya seterusnya.

Berdasarkan Berita Harian, pada hujung bulan lalu, Khazanah mengumumkan pelan 12 perkara bagi memulihkan MAS yang akan menyaksikan 6,000 pekerja daripada setiap peringkat diberhentikan.
Langkah itu akan menyebabkan munculnya MAS baharu dan lebih kecil pada 1 Julai 2015 berbanding 20,000 tenaga kerja ketika ini.

Mengikut sumber itu, OPC akan membantu kakitangan peralihan yang dikenal pasti di bawah tiga kategori, iaitu pesara awal, pencari kerja dan usahawan berpotensi.

OPC yang berada di bawah naungan Pusat Latihan Kemahiran Korporat (CRC), ditubuhkan untuk penyusunan semula dan perkhidmatan sokongan dan akan merangkumi bidang seperti kewangan, perancangan persaraan, panduan kerjaya dan kaunseling, hubungan dengan bakal majikan dan perkongsian dengan badan berkanun yang berpotensi.

Untuk pesara awal, OPC akan menyediakan kaunseling mengenai pengurusan dana persaraan mereka di samping menyesuaikan diri kepada kehidupan selepas bersara.

Kepada kakitangan yang memilih latihan kemahiran, mendapat kerja baharu atau mungkin industri lain dengan keperluan berbeza, OPC akan membantu menyediakan mereka untuk masa depan.

Latihan kemahiran di CRC akan menampung pekerja yang memilih latihan bagi mendapat kemahiran baharu kerana CRC akan menawarkan mereka prasarana dan sokongan yang perlu supaya mereka cemerlang dalam kerjaya selepas meninggalkan MAS.

Khazanah dan MAS bekerjasama dengan Scicom (MSC) Bhd dan Sutherland Global Services untuk memberi latihan kemahiran kepada kakitangan MAS.

Selain itu, OPC menawarkan panduan dan bantuan kepada mereka yang memilih untuk menjadi usahawan.

OPC akan memainkan peranan penting dalam proses penyusunan semula, bukan sahaja kepada 6,000 kakitangan terbabit, tetapi juga daripada aspek 14,000 kakitangan yang akan menyertai MAS baharu yang mana akan terdapat penilaian kakitangan yang akan bergerak secara dalaman.

"Kedua-dua pihak akan memerlukan sokongan dan kaunseling ketika mereka bergerak ke tempat kerja yang berbeza dan pelarasan akan dilakukan di dalam persekitaran dan keperluan yang berbeza," katanya.

Ditanya bagaimana 6,000 kakitangan yang diberhentikan itu akan dikenal pasti, sumber itu berkata, proses itu sedang dijalankan oleh profesional sumber manusia yang kini mengkaji keperluan kerja selepas penyusunan semula.

"Dengan mengambil pihak ketiga melakukannya, akan menghapuskan tindakan berat sebelah dan pilih kasih, dengan mengambil kira prinsip keadilan, ketelusan dan belas kasihan," tambahnya.

Satu konsep baharu di Malaysia, OPC adalah pelan holistik dan komprehensif pertama bagi membantu peralihan kakitangan yang terbabit kepada pekerjaan baharu.

Program penempatan ini adalah unik dalam konteks pemberhentian kakitangan di negara ini kerana ia mengambil kira semua aspek isu peralihan kerjaya bagi menampung keperluan kakitangan terbabit, iaitu mereka yang mahu bersara, mereka yang mahu menjadi usahawan dan mereka yang mencari pekerjaan baharu.

Selain itu, individu juga diberikan pilihan memasuki CRC yang akan menawarkan mereka peluang untuk memahirkan diri mereka untuk pasaran pekerjaan dan pelbagai aktiviti keusahawanan berpotensi.

Dibiayai Khazanah, ia adalah yang pertama untuk syarikat berkaitan kerajaan dan akan menjadi contoh kepada pihak lain mengikutinya manakala kakitangan MAS yang beralih keluar daripada syarikat penerbangan itu akan menjadi penerima manfaat pertama program ini.


Kita sebagai rakyat Malaysia seharusnya menyokong penerbangan ulung tanah air MAS dan memartabatkan semula agar dihormati masyrakat dunia sebagai syarikat penerbangan terulung di seluruh dunia.


pautan- Berita Harian

0 komentar:

Posting Komentar

Komen dan maklum balas anda dialu alukan.

 

Label

Copyright © 2014. WarkahTerkini - All Rights Reserved
Template Created by Templateure
Proudly powered by Blogger